KOTA KINABALU: Konsep Urban School yang diperkenalkan Lagenda Merpati Education dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak di Sabah yang lebih dekat dengan komuniti bandar dan keperluan keluarga masa kini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, konsep berkenaan menunjukkan pendidikan awal kanak-kanak tidak semestinya terhad kepada bangunan sekolah secara konvensional, sebaliknya boleh disesuaikan dengan perkembangan komuniti, keperluan keluarga dan perubahan gaya hidup masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang, sempena Grand Opening Lagenda Merpati Education, di sini.
Menurutnya, pendekatan yang dilaksanakan melalui persekitaran kawasan kedai pejabat dan komuniti perumahan itu memberikan satu alternatif yang lebih fleksibel serta dekat dengan kehidupan masyarakat bandar.
“Setiap perubahan besar lazimnya bermula dengan satu langkah pertama.
“Pembukaan Taska dan Tadika Lagenda Merpati serta Sabah Institute of Art ini bukan sekadar pembukaan sebuah cawangan baharu, tetapi merupakan satu permulaan kepada idea dan pendekatan yang berpotensi berkembang lebih luas dalam landskap pendidikan awal kanak-kanak di Sabah,” katanya.
James berkata, pendekatan berkenaan turut memberikan penekanan kepada pembangunan potensi kanak-kanak melalui pendedahan kepada seni visual, muzik, tarian dan aktiviti kreatif, selain pembelajaran asas.
Katanya, penglibatan tenaga pengajar daripada Sabah Institute of Art (SIA) dalam aspek seni dan kreativiti menjadi nilai tambah yang dapat membantu membangunkan ekspresi diri, keyakinan dan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja berpotensi memberi manfaat kepada kanak-kanak dan keluarga di kawasan sekitar, malah boleh menjadi pencetus kepada pengusaha pendidikan lain untuk meneroka pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Dalam pada itu, James turut menekankan kepentingan kerjasama antara ibu bapa dan institusi pendidikan bagi memastikan perkembangan akademik, sosial, emosi dan kreativiti anak-anak dapat dipupuk secara menyeluruh.
“Dalam aspirasi Malaysia MADANI, kita mahu membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi turut mempunyai nilai kemanusiaan, adab, rasa tanggungjawab serta semangat untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Lagenda Merpati Education dan Sabah Institute of Arts diatas keberanian memperkenalkan pendekatan baharu berkenaan serta berharap ia terus berkembang dan menjadi contoh kepada usaha inovatif dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Sabah.
Turut hadir ialah Puan Hajah Fauziahton binti Ag. Samad, yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Mr. Civic Chin, Pengasas Taska & Tadika Lagenda Merpati, dan Datuk Sri Wilson Yong, JP, Pengasas Sabah Institute of Art (SIA).