KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menerima wang berkenaan sebagai balasan bagi membantu memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di salah sebuah daerah di Sabah.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2024 dan 2025, selain dipercayai menerima wang rasuah secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek dijadualkan didakwa pada 28 September ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.