PENAMPANG: Seorang lelaki berperwatakan wanita yang dipercayai pengedar serbuk ekstasi di pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu dicekup ketika dipercayai sedang menghantar bekalan dadah kepada pembeli, semalam.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam operasi di Jalan Pintas, di sini, jam 10.40 malam.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan susulan maklumat orang awam berhubung kegiatan pengedaran dadah oleh suspek.
Katanya, pemeriksaan membawa kepada penemuan lapan paket serbuk disyaki ekstasi seberat 190.94 gram dan enam biji pil disyaki ekstasi seberat 2.80 gram.
“Keseluruhan dadah dirampas seberat 193.74 gram dengan anggaran nilai RM6,400.
“Polis turut merampas sebuah iPhone 16 Pro Max dan sebuah kenderaan BYD berwarna putih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal dadah termasuk serbuk ekstasi, ketamin dan bahan dikenali sebagai ‘jus’ kepada pelanggan di pusat hiburan.
Katanya, kegiatan suspek dipercayai tertumpu di beberapa pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
“Pemeriksaan susulan turut dilakukan di kediaman suspek, namun tidak menemukan sebarang barang salah.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula didapati positif methamphetamine (METH), amphetamine (AMP), ketamine dan benzodiazepine (BZO),” katanya.
Alhusin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rakan sejenayah suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X