SMK St Joseph Papar terima bas 28 tempat duduk

PAPAR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph di sini menerima sebuah bas coaster berkapasiti 28 tempat duduk hasil sumbangan Berjaya Corporation Berhad menerusi Berjaya Cares Foundation (BCF), hari ini.

Bas berkenaan diserahkan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad merangkap Pengerusi BCF, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun kepada Pengetua SMK St Joseph, Puan Jenith Mahibol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sumbangan itu tercetus daripada hasrat Berjaya Corporation Berhad melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sebuah sekolah di Papar.

Beliau berkata, SMK St Joseph dicadangkan sebagai penerima selepas KPDN memilih SMK Benoni sebagai Sekolah Angkat MADANI bagi 2026.

Katanya, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Program Sekolah Angkat MADANI yang menggalakkan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti bagi memenuhi keperluan sekolah serta memperkasa potensi murid.

“Bas ini akan membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih teratur untuk pelajar menyertai lawatan pendidikan, pertandingan dan pelbagai program di luar sekolah.

“Penyertaan dalam aktiviti sebegini penting untuk meluaskan pengalaman pelajar, selain memberi ruang mencungkil bakat dan membina keyakinan diri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan di SMK St Joseph, di sini, hari ini.

Armizan berkata, SMK St Joseph mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana pernah menimba ilmu di sekolah berkenaan pada 1992.

“Sekolah yang kini berusia 73 tahun ini bukan sekadar institusi pendidikan, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

“Setiap kali kembali ke sekolah ini, hadir rasa seperti pulang ke tempat yang menyimpan begitu banyak kenangan.

“Dapat menyaksikan satu lagi kemudahan disumbangkan untuk membuka ruang dan peluang kepada generasi hari ini tentunya membawa nilai dan makna yang amat besar,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata penglibatan sektor swasta dalam agenda pendidikan perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan whole-of-nation bagi memastikan pembangunan potensi anak-anak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, warga pendidik, ibu bapa, masyarakat dan sektor korporat.

“Apabila setiap pihak menyumbang berdasarkan keperluan sebenar, manfaatnya dapat dirasai secara langsung dalam membantu membentuk kemenjadian murid.

“Selain bas, BCF turut menyumbangkan 500 bakul makanan kepada pihak sekolah untuk diagihkan kepada pelajar daripada golongan yang memerlukan,” katanya

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Vincent Tan dan seluruh warga BCF atas keprihatinan terhadap pendidikan serta kebajikan masyarakat di Papar.

Beliau berharap kemudahan dan sumbangan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan pelajar serta warga SMK St Joseph.