SATS cipta kejayaan di pentas kebangsaan melalui bahasa Arab

SEMPORNA: Kejayaan Sekolah Agama Tun Sakaran (SATS) meraih pingat emas dalam pertandingan Hiwar di Karnival Kokurikulum Bahasa Arab peringkat kebangsaan membuktikan anak-anak Semporna mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas lebih tinggi.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SATS, Anyrishah Mohd Shah berkata pencapaian kontinjen sekolah yang mewakili daerah Semporna dan Sabah itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah mengangkat nama daerah serta negeri di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, kejayaan dalam pertandingan Hiwar turut disusuli penyertaan pelajar SATS dalam beberapa acara lain termasuk Kalam Arabi, Jamai, Sibaqul Lughah dan Imlak, selain pertandingan yang melibatkan peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa anak-anak Semporna mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai NYDP PIBG, saya melihat kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, tetapi turut membawa nama Semporna dan Sabah ke pentas yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau yang mewakili barisan PIBG SATS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pengarah Lembaga Pendidikan Sabah (LPS), Tuan Dato’ Hj. Razzak Tun Sakaran, Guru Besar SATS, Puan Candrahalilah, barisan guru pembimbing serta seluruh peserta kontinjen atas usaha, komitmen dan kerja keras sehingga membuahkan kejayaan.

Menurutnya, pencapaian berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah dan anak-anak Semporna untuk terus berani mencuba, berusaha serta mengembangkan bakat masing-masing.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah dan anak-anak Semporna untuk terus berani mencuba, berusaha dan mengharumkan nama sekolah, daerah serta negeri Sabah.

“Kejayaan anak-anak SATS adalah kebanggaan Semporna dan Sabah,” tambah beliau.