KOTA KINABALU: 23 atlet anak tempatan Sabah menunjukkan prestasi yang membanggakan semasa mewakili Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Malaysia atas kejayaan mencapai sasaran enam pingat emas.
“Pencapaian membawa pulang sembilan pingat emas yang mengatasi sasaran awal merupakan hasil sumbangan serta komitmen cemerlang atlet negara, termasuk 23 orang atlet dari Sabah.
“Paling membanggakan apabila emas pertama untuk kontinjen negara disumbangkan oleh anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert menerusi acara karate, manakala tiga pemain hoki berasal dari Sabah serta atlet sukan padel negara, Christian Didier Chin masing-masing menyumbangkan pingat perak.
“Tidak ketinggalan sumbangan atlet lain dalam pelbagai acara turut memperkukuh pencapaian keseluruhan negara,” katanya kepada media selepas menjadi tetamu dalam rancangan Kami Bah Ini (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, pencapaian tersebut sebagai petanda jelas bahawa atlet Sabah mempunyai bakat besar, kesungguhan, serta komitmen tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurut Nizam, anak-anak Sabah mempunyai kesungguhan dan komitmen untuk berjaya, maka Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) akan terus berusaha memberi ruang dan peluang bagi mempertingkatkan lagi bakat-bakat di Sabah supaya mereka boleh menjadi menyerlah di masa akan datang.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan), Noorman Ramlan.