PRU16: GRS sasar lebih 15 kerusi parlimen, perkukuh suara Sabah – Armizan

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk memenangi lebih 15 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), berbanding simulasi awal sebanyak 14 hingga 15 kerusi berdasarkan keputusan pilihan raya negeri lalu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sasaran berkenaan penting bagi memastikan suara Sabah lebih kuat dan kukuh di peringkat Persekutuan, khususnya dalam membawa kepentingan negeri.

Beliau berkata, GRS mahu mengekalkan sokongan yang diperoleh di kawasan yang dimenangi sebelum ini, selain meningkatkan sokongan di kawasan Parlimen lain yang dilihat mempunyai potensi.

“Kalau kita lihat dari segi kiraan simulasi, tidak termasuk dengan adanya UPKO sekarang, berdasarkan undi PRN yang lalu, GRS secara atas kertas boleh menang 14 hingga 15 kerusi Parlimen.

“Tetapi kita mahu lebih daripada itu kerana kita mahu suara Sabah melalui GRS dengan jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen, termasuk dua Ahli Parlimen daripada UPKO susulan penyertaan parti itu sebagai komponen keenam GRS.

Katanya, gabungan itu mahu gerak kerja menghadapi PRU16 dilaksanakan secara lebih strategik dan berfokus dengan memberi perhatian kepada usaha mengekalkan pangkalan sokongan sedia ada serta menambah kekuatan di kawasan lain.

“Kita mahu mengekalkan sokongan yang sedia ada di kawasan yang kita menang dan mendapat jumlah undi yang signifikan, pada masa sama kita mahu menambah sokongan di kawasan lain yang kita lihat mempunyai potensi.

“Pemilihan calon yang boleh menang juga menjadi antara pertimbangan penting, termasuk mengambil pengajaran daripada pilihan raya yang lalu,” katanya.

Menurutnya, GRS melihat keperluan untuk mempunyai lebih banyak wakil Sabah di Parlimen yang mampu membawa kepentingan negeri secara bersama dan tidak berpecah.

“Sabah mempunyai 25 kawasan Parlimen. Sekiranya 25 kawasan ini diisi oleh wakil yang berpecah dan tidak boleh bersuara sebagai satu suara, ia menyebabkan suara Sabah tidak sekuat dan sesolid yang kita mahukan.

“Kita mahu wakil-wakil Sabah itu dapat bersama-sama membawa aspirasi dan kepentingan negeri di peringkat Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata kemasukan UPKO sebagai komponen keenam GRS diyakini dapat memperkukuh gabungan berkenaan bukan sahaja dari segi kekuatan politik, malah suara Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, keutamaan GRS ketika ini adalah memperkukuh gabungan itu terlebih dahulu dalam menghadapi landskap politik yang dinamik.

“Politik sangat dinamik, lebih-lebih lagi dinamika politik di Semenanjung antara parti-parti utama mungkin mempengaruhi bentuk kerjasama di peringkat negeri.

“Sebab itu keutamaan kita buat masa ini adalah memperkuatkan GRS. Rumah kita, kita perkemaskan dan perkukuhkan dahulu,” katanya.