KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memperkukuh kerjasama politik menerusi gagasan Muafakat Sabah bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Raime Unggi, yang juga bekas Ahli Parlimen Tenom, berkata gagasan itu bertujuan memperkukuh persefahaman politik antara BN dan GRS demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah, melangkaui kerjasama menjelang PRU16.
Beliau berkata, pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum ini membuktikan kerjasama antara BN dan GRS mampu memberikan kelebihan kepada kedua-dua gabungan berkenaan.
“Pengalaman PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag lalu menjadi contoh jelas apabila jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.
“Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka lebih besar. Saya membawa idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, kerjasama politik penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dilaksanakan tanpa gangguan.
Menurutnya, Muafakat Sabah juga berpotensi menjadi asas kepada hubungan lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pembangunan, menyelesaikan isu kemudahan asas serta memperjuangkan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, matlamat gagasan itu jauh lebih besar daripada sekadar memperoleh kemenangan dalam pilihan raya kerana kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Muafakat Sabah yang saya ketengahkan bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang kukuh dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kemenangan pilihan raya hanya permulaan. Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat sebenar Muafakat Sabah,” katanya.