KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya lalu, iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, PH Sabah pada masa sama sedang meneliti beberapa kawasan Parlimen lain yang berpotensi untuk ditandingi tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan komponen dalam kerajaan negeri, khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Keputusan asas kita, kita akan pertahankan tiga kerusi yang kita menangi iaitu Parlimen Sepanggar, Parlimen Kota Kinabalu dan juga Parlimen Sandakan.
“Pada masa sama, kita sedang meneliti beberapa kerusi yang berpotensi untuk dibawa dalam proses rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat PH Sabah di sini, hari ini.
Mengulas hubungan kerjasama dengan GRS, Mustapha berkata, hubungan kedua-dua pihak ketika ini masih kukuh, khususnya di peringkat negeri dan Persekutuan, meskipun terdapat pelbagai pandangan mengenai bentuk kerjasama politik menjelang PRU-16.
Dalam pada itu, beliau berkata PH Sabah turut mula memperkemas persediaan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya berkenaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Katanya, persediaan itu termasuk menyelaraskan kekuatan jentera parti masing-masing supaya dapat digerakkan secara lebih tersusun.
“Kita ada masa lebih kurang setahun.
“Jadi, yang kita bincangkan ialah persediaan jentera dan aktiviti yang akan dilaksanakan. Kita cuba gabungkan jentera ini supaya lebih kuat,” tambahnya.