PENAMPANG: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama polis berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang wanita berusia 21 tahun dalam cubaan bunuh diri di tingkat tiga sebuah bangunan berhampiran kedai 7-Eleven, Donggongon, awal pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.33 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba dua minit kemudian sebelum mengesahkan kejadian berlaku di tingkat tiga bangunan berkenaan.
Menurutnya, operasi memujuk mangsa dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga wanita itu berjaya dipujuk dan disahkan berada dalam keadaan selamat.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.55 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi bahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zeno berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi penyelamat dalam menangani situasi kecemasan, khususnya yang memerlukan tindakan pantas serta pendekatan berhati-hati bagi memastikan keselamatan mangsa.