Lebih 4,000 warga PDRM Sabah sertai Hari Sukan Negara

KOTA KINABALU: Lebih 4,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai sambutan Hari Sukan Negara peringkat Kontinjen Sabah yang diadakan serentak di seluruh negeri, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sambutan itu membabitkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta pusat lain yang mengambil bahagian bagi memupuk budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan warga pasukan berkenaan.

Menurutnya, kelainan sambutan tahun ini ialah penggunaan pakaian seragam khas dengan warna dan perkataan yang sama di seluruh Kontinjen Sabah, sekali gus melambangkan semangat kebersamaan serta kesepaduan dalam kalangan peserta.

“Pakaian berkenaan disediakan menggunakan peruntukan daripada tabung kebajikan dan sosial bagi memastikan semua peserta dapat menyertai program dengan penampilan seragam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jauteh menegaskan kepentingan menjaga tahap kesihatan dan kecergasan fizikal dalam kalangan pegawai serta anggota polis, termasuk memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) berada pada tahap bersesuaian.

Katanya, pemantauan BMI penting bagi memastikan berat badan anggota sepadan dengan ketinggian masing-masing, selain membantu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

“BMI merupakan sesuatu yang wajib kepada semua pegawai dan anggota PDRM bagi memastikan berat badan mereka bersesuaian dengan umur dan ketinggian,” katanya.

Jauteh berkata, kecergasan fizikal yang baik penting bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepolisan dengan berkesan.

Mengulas keadaan cuaca, beliau berkata keadaan di Sabah berada pada tahap baik, manakala jerebu masih rendah dan tidak menjejaskan pelaksanaan aktiviti di kawasan terbuka.

“keadaan itu membolehkan sambutan Hari Sukan Negara dilaksanakan mengikut perancangan,” jelasnya.