RM750 juta untuk 35,000 siri Jualan Rahmah, Agro MADANI

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM750 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 35,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan Jualan Agro MADANI di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 siri PJRM akan dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), manakala 5,000 siri Jualan Agro MADANI dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurutnya, pelaksanaan PJRM akan diperluas dengan memberi tumpuan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar, selain membantu peniaga kecil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman menerusi penambahan enam lokasi baharu.

“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Gudam, Pusa, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata, kerajaan turut menyediakan RM10 juta bagi meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), dengan tumpuan membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar negara.

Dalam pada itu, katanya, peruntukan RM1.1 bilion bagi memperkukuh keupayaan operasi badan penguatkuasaan, termasuk KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), turut menyokong usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Beliau berkata, Belanjawan 2027 turut memperkenalkan potongan cukai kepada penyumbang makanan dan peralatan bagi inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Selain itu, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, usaha memperkukuh industri animasi tempatan turut diberi perhatian menerusi pembangunan 20 harta intelek baharu dan pengkomersialan watak Malaysia di peringkat antarabangsa.

“KPDN menyambut baik peruntukan dan inisiatif ini bagi memperkukuh usaha menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan serta memperkasa perlindungan pengguna.

“Kami komited memastikan pelaksanaannya membawa manfaat nyata kepada rakyat dan meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka,” katanya.