Empat tapak persendirian jadi parkir awam sementara di Tenom

TENOM: Empat tapak tanah persendirian di daerah ini akan dibersihkan dan dijadikan kawasan meletak kenderaan awam sementara bagi membantu menyediakan kemudahan parkir kepada masyarakat dan pelancong.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, selain bekas Hotel Antanom/Asiarasa Bed & Breakfast, beliau telah mendapat persetujuan daripada tiga pemilik tanah persendirian untuk membenarkan tapak mereka digunakan sebagai kawasan parkir awam sementara sehingga tanah berkenaan dimajukan.

Beliau berkata, kerja pembersihan di tapak bekas Hotel Antanom/Asiarasa Bed & Breakfast sedang dijalankan, manakala kerja pembersihan di tiga tapak lain akan dimulakan segera.

“Selain tapak tersebut, saya juga sudah mendapat persetujuan tiga pemilik tanah persendirian yang bersetuju tapak tanah mereka dijadikan kawasan meletak kenderaan awam buat sementara selagi tanah tersebut belum dimajukan,” katanya.

Jamawi bersama Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; PPHT Tenom, Geoffrey; Ketua-Ketua Masyarakat Cina serta Ketua Daerah Tenom, OKK Tusip Tulas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap (PPM), Densely Justin turut meninjau ketiga-tiga tapak berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga tapak itu terletak bersebelahan kilang padi lama Tenom, di belakang Hotel Orchid dan di belakang tapak Tamu Pekan Tenom.

“Kerja-kerja pembersihan ketiga-tiga tapak ini akan dimulakan segera untuk kemudahan masyarakat Tenom meletakkan kenderaan kelak.

“Semoga usaha ini akan dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat Tenom dan para pelancong yang datang ke Tenom,” katanya selepas meninjau tapak berkenaan kelmarin.