Pegawai ekonomi hadapi 14 pertuduhan tuntutan palsu

SANDAKAN: Seorang Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi berdepan 14 pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan yang didakwa mengandungi butiran dan pernyataan palsu membabitkan pembekalan barangan serta perkhidmatan di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan.

Tertuduh, Nur Izzati Mohd Rudzuan, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah Sandakan, hari ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Ogos hingga September 2023 serta April hingga Mei 2024 di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan.

Antara tuntutan yang dipertuduhkan termasuk pembekalan makanan dan minuman, makanan sejuk beku, makanan kering, hamper, cenderahati, Gift Hamper serta perkhidmatan sistem audio.

Dalam satu pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan invois Al-Shifa Enterprise bernombor 0018 bertarikh 4 April 2024 bagi tuntutan pembekalan hadiah dan cenderahati bernilai RM1,500, sedangkan pembekalan itu didakwa tidak dilakukan sepenuhnya.

Bagi pertuduhan lain, dia didakwa menggunakan invois Al-Shifa Enterprise bernombor 0019 bertarikh 6 April 2024 bagi pembekalan hamper bernilai RM1,000 yang didakwa tidak dibekalkan sepenuhnya.

Tertuduh turut didakwa menggunakan invois ZEE’S Enterprise bernilai RM3,500 bagi pembekalan pelbagai makanan termasuk bilis kopek, udang kering, amplang, ikan masin dan sotong kering.

Selain itu, pertuduhan lain membabitkan tuntutan RM1,360 bagi Gift Hamper, RM1,000 untuk perkhidmatan sistem audio, RM2,800 bagi pelbagai produk makanan kering serta beberapa tuntutan makanan dan minuman bernilai antara RM106 hingga RM750.

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan menggunakan dokumen yang mengandungi butiran dan pernyataan palsu dengan tujuan mengelirukan pihak prinsipal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan, jika dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Andi Razalijaya A Dadi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan RM5,000 didepositkan ke akaun mahkamah serta seorang penjamin tempatan.

Tertuduh turut dilarang mengganggu saksi pendakwaan, diwajibkan melapor diri di mana-mana pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan kes bagi pengurusan perbicaraan, manakala perbicaraan ditetapkan selama lima hari bermula 1 hingga 5 Februari 2027.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Rustam Sanip, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon.