Belanjawan 2027: Gaji minimum naik RM2,000 mulai Jun 2027

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, perubahan berkenaan dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja yang tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu.

“Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, langkah itu penting memandangkan kadar gaji minimum ketika ini hanya meningkatkan paras minimum pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.

Beliau turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.

“Langkah itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja,” jelasnya.

Tambah beliau, beberapa majikan dalam sektor utama seperti perbankan serta minyak dan gas turut menetapkan kadar gaji yang lebih wajar.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua majikan swasta supaya mengikuti langkah berkenaan bagi memastikan pekerja menerima pendapatan yang lebih setimpal.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata bagi membendung pengambilan pekerja asing tanpa izin (PATI) syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya bayaran dibuat melalui akaun bank, selaras dengan saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Beliau berkata syarat berkenaan hanya terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji, manakala potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk kepada ketetapan itu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.