Penjawat awam direman tujuh hari, disyaki salah guna kuasa 15 projek kerajaan

KENINGAU: Seorang penjawat awam direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu direman sehingga 12 Oktober ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry di Mahkamah Majistret Keningau, pagi tadi.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, suspek hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Keningau sebelum ditahan kira-kira jam 4 petang semalam.

“Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya antara 2021 hingga 2024 bagi mengesahkan Sijil Pengesahan Siap membabitkan 15 projek kerajaan.

“Kesemua projek berkenaan dilaksanakan sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki salah seorang ahli keluarga suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“ Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan,” katanya.