Tipu duit syarikat RM6.2 juta, bekas pegawai pemasaran dipenjara lima tahun, maksimum 24 sebatan

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap 26 pertuduhan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah menipu dan memperdaya kerani sebuah syarikat sehingga menyerahkan wang berjumlah lebih RM6.2 juta, tiga tahun lalu. 

Mok Chuang Leon, 38, didapati bersalah di akhir kes pembelaan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya melampaui keraguan munasabah.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan, dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini. 

Bagaimanapun, bagi hukuman sebatan, mahkamah memutuskan hanya maksimum 24 sebatan boleh dikenakan terhadap tertuduh selaras dengan Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh didakwa dengan curangnya menipu dan memperdaya kerani syarikat tempatnya bekerja supaya menyerahkan wang keseluruhan RM6,212,266.84 dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh Ampel Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd yang kedua-duanya adalah milik tertuduh. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3½, Jalan Apas, di sini, antara Februari 2023 hingga Februari 2024.

Mok didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes bermula 24 April 2025 dengan pihak pendakwaan memanggil 24 saksi, manakala pihak pembelaan hanya memanggil tertuduh sebagai saksi tunggal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat notis rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini manakala jumlah jaminan dan syarat jaminan sedia ada dikekalkan sehingga rayuan berkenaan diputuskan.