KOTA KINABALU: Empat pelajar kumpulan sulung Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau terpilih menerima tajaan pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2026, sekali gus membuka laluan untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dua daripada penerima tajaan itu ialah Audra Chyra Fredolin dari Kampung Wangkod Gontung, Tamparuli, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Data di Universiti Malaya (UM), manakala Mohammad Shazzif Putra Mohammad Razif dari Kampung Dumpiring dari Kundasang, akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Audra berkata, kemudahan makmal dan pendekatan pembelajaran secara amali di MRSM Ranau menyemarakkan minatnya terhadap bidang sains dan teknologi, selain membantunya mengimbangi tuntutan akademik dengan tanggungjawab sebagai timbalan presiden majlis perwakilan pelajar.
“Dengan latar belakang Gunung Kinabalu dan udara Ranau yang nyaman, tempat ini cukup istimewa untuk menimba ilmu. MRSM Ranau memberikan kami ruang untuk belajar dan berkembang,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Shazzif berkata, pengalaman menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar sulung MRSM Ranau pada awalnya mencabar kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan rakan-rakan yang mempunyai semangat tinggi untuk berjaya.
“Pada mulanya, saya berasa gementar kerana menjadi sebahagian daripada kumpulan pelajar sulung MRSM Ranau.
“Saya juga perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan menyedari bahawa setiap pelajar di sini mempunyai kebolehan serta semangat yang tinggi untuk berjaya,” ujarnya.
Beliau berkata, pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain dorongan guru serta rakan-rakan, mendorongnya memilih bidang Kejuruteraan Petroleum berbanding cita-cita awalnya untuk menjadi guru.
MRSM Ranau dibangunkan PETRONAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta memupuk minat pelajar Sabah dalam bidang STEM.
Kampus seluas 26,000 meter persegi itu dibuka kepada pelajar pada Mac 2024 dan mampu menampung sehingga 450 pelajar, selain dilengkapi blok akademik, pusat sumber, asrama, dewan makan, dewan serba guna serta kemudahan sukan.
Audra dan Mohammad Shazzif merupakan antara lebih 40,000 pelajar di seluruh negara yang menerima manfaat daripada program tajaan pendidikan PETRONAS sejak 1975.