Perselisihan faham cetus kes serangan, tiga individu ditahan

TAWAU: Tiga individu, terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, ditahan bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah yang dipercayai berlaku di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan seorang mangsa yang mendakwa diserang sekumpulan individu di sebuah rumah kongsi di kampung berkenaan.

Menurutnya, mangsa mendakwa seorang wanita menarik rambutnya, manakala seorang lelaki yang tidak dikenalinya menumbuk bahagian tepi telinga kanannya sehingga menyebabkan kesakitan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung dakwaan mangsa menyiram seorang individu dengan air panas serta memukul anak individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, mangsa turut mendakwa menerima ugutan untuk membakar rumah kongsi yang didiaminya.

Menurutnya, sepasukan tiga anggota polis dari Balai Polis Bombalai menjalankan tindakan pengesanan sebelum menahan dua wanita berusia anggaran 47 dan 42 tahun serta seorang lelaki berusia anggaran 45 tahun di perkarangan balai berkenaan.

Kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan tindakan kekerasan atau ugutan ketika berdepan perselisihan faham.

“Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan secara aman melalui saluran yang betul, manakala kejadian jenayah perlu dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.