KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tindakan tegas boleh dikenakan terhadap peniaga yang mengenakan caj tambahan atau tersembunyi tanpa memaklumkannya kepada pengguna lebih awal.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, amalan memaklumkan caj tambahan hanya pada peringkat akhir transaksi bukan sahaja mengelirukan, malah menjejaskan hak pengguna untuk mengetahui harga sebenar sebelum membuat keputusan pembelian.
Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang mewajibkan semua cukai, duti, cukai kerajaan serta caj lain dimasukkan dalam harga yang dipaparkan atau diiklankan.
Menurutnya, prinsip berkenaan turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum, khususnya bagi sektor makanan dan minuman serta transaksi e-dagang dan penghantaran.
“Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj tertentu pada peringkat akhir transaksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Mersing, Tuan Haji Muhammad Ishlahuddin Abas pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata, sekiranya berlaku pelanggaran Seksyen 10B Akta 723, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 57 akta sama.
Katanya, kesalahan membabitkan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, katanya, KPDN turut mempunyai kuasa penguatkuasaan menerusi Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), khususnya Seksyen 12(1)(a) yang melarang peniaga memberikan gambaran mengelirukan berkaitan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan.
“Malah, Seksyen 12(3)(c) akta berkenaan secara khusus memperuntukkan bahawa paparan harga yang memberi tanggapan seolah-olah merangkumi semua perkara, sedangkan terdapat caj tambahan dikenakan secara berasingan, boleh dianggap mengelirukan.
“Peruntukan ini bukan sahaja meliputi transaksi di premis fizikal, tetapi turut terpakai kepada urus niaga perdagangan secara elektronik,” katanya.
Armizan berkata, kesalahan mengikut Akta 599 boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 145, iaitu denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN turut menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi memastikan senarai perkhidmatan serta caj yang dikenakan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat pengguna.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan berkaitan penzahiran harga.
Beliau turut menggesa pengguna supaya menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran serta menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mengesan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan jumlah yang dikenakan.