Tunas kencana serlah bakat inovasi MBPK

KOTA KINABALU: Anugerah Tunas Kencana menjadi wadah menyerlahkan bakat inovasi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Pengarah Bahagian Industri Pembuatan, Sains dan Teknologi, Kementerian Ekonomi, Zaiton Yahya berkata, anugerah menerusi Program Junior Innovathon 2026 itu menyediakan pentas setara kepada MBPK untuk mengetengahkan daya cipta serta menyumbang kepada kemajuan negara.

“Pembangunan ekonomi negara tidak boleh diukur semata-mata melalui angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau pelaburan mega, sebaliknya ia dinilai daripada sejauh mana setiap lapisan rakyat turut menikmati peluang dan ruang untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

“Program ini dirangka bukan sekadar sebagai sebuah pertandingan realiti televisyen, tetapi sebagai gerakan membudayakan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, sains dan teknologi bermula dari bangku sekolah.

“Kita mahu memastikan anak-anak berkeperluan pendidikan khas diberikan pentas berprestij yang setaraf untuk mengetengahkan potensi daya cipta mereka kepada seluruh negara.

“Anak-anak ini membuktikan kepada kita semua bahawa keterbatasan bukanlah penghalang, sebaliknya ia mampu menjadi pemangkin kepada kreativiti yang luar biasa,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Tunas Kencana Program Junior Innovathon 2026 Peringkat Zon Borneo di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Kepayan, di sini, pada Khamis.

Beliau turut menghargai sumbangan guru pembimbing yang bukan sahaja membentuk minda murid, malah membina keyakinan diri mereka untuk mendepani masa hadapan.

“Jadikan penganugerahan hari ini sebagai satu permulaan, bukan garisan penamat. Teruskan bertanya, teruskan mereka cipta dan teruskan bermimpi besar,” ujarnya.

Sebanyak 74 pasukan dari 50 sekolah MBPK seluruh negara menyertai pertandingan itu, dengan Sabah mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 17 pasukan.

Pada majlis tersebut, empat pasukan Zon Borneo menerima pengiktirafan atas pencapaian masing-masing.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Pekan Tuaran meraih naib juara kategori sekolah rendah menerusi produk Peelicious Snack, manakala SK Penampang menduduki tempat ketiga menerusi produk Smartstep LED.

Kumpulan Innokhas dari SK Pendidikan Khas Miri (P), Sarawak, pula meraih tempat kelima menerusi produk Sistem Amaran Pintar Kelas Pendidikan Khas, manakala SMK Gadong, Beaufort menduduki tempat kelima bagi kategori sekolah menengah menerusi produk PiperX.

SK Penampang turut menerima Anugerah Citra Bestari Bank Islam bagi kategori sekolah rendah, manakala SMK Gadong menerima anugerah sama bagi kategori sekolah menengah.

Kedua-dua sekolah masing-masing membawa pulang RM8,000, merangkumi RM5,000 untuk hadiah kumpulan dan RM3,000 untuk sekolah.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Produksi TV, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Nasrul Hakim Mohd Noh serta Pengarah Bahagian Deposit dan Kad Bank Islam, Elly Marina Hazani.