Sabah perkukuh kerjasama pelancongan dengan India menjelang TMS 2027

KOTA KINABALU: Sabah berhasrat memperkukuh kerjasama pelancongan dan kebudayaan dengan India bagi meningkatkan ketibaan pelancong dari negara itu menjelang penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 (TMS 2027).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, India merupakan antara pasaran pelancongan penting yang mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh Sabah.

Katanya, usaha memperkukuh hubungan dengan India bukan sahaja dapat menggalakkan peningkatan ketibaan pelancong, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam aspek promosi pelancongan, pertukaran kebudayaan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

“India merupakan pasaran pelancongan penting yang mempunyai potensi besar untuk Sabah. Kita melihat peluang yang luas untuk memperkukuh hubungan, menggalakkan peningkatan ketibaan pelawat serta memperkenalkan lebih ramai pelancong India kepada tarikan alam semula jadi Sabah yang unik, warisan kebudayaan yang kaya dan kepelbagaian pengalaman pelancongan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam bagi meraikan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Somnath Ghosh dan isterinya, Dr Anindita Ghosh, di Sutera Harbour Marina & Country Club, di sini, malam tadi.

Majlis itu diadakan bersempena lawatan rasmi Somnath ke Sabah dari 4 hingga 7 November ini.

Jafry berkata, Sabah kekal komited memperluas kerjasama pelancongan antarabangsa, khususnya menerusi hubungan lebih erat dengan rakan strategik bagi membina persahabatan berkekalan serta mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

Katanya, Sabah turut mempunyai kelebihan sebagai destinasi pilihan pelancong India menerusi tarikan alam semula jadi bertaraf dunia, kepelbagaian biodiversiti, pelancongan pengembaraan, warisan kebudayaan dan layanan mesra.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Somnath dan Suruhanjaya Tinggi India atas usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan antara India dan Malaysia.

“Sabah menghargai hubungan persahabatan dengan India dan kita berharap hubungan ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama bermakna yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Hasrat kita adalah untuk membawa Sabah lebih dekat dengan dunia, di samping mengalu-alukan lebih ramai masyarakat dunia untuk merasai sendiri pengalaman di Sabah,” ujar beliau.