KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah komited untuk memastikan kelestarian alam sekitar serta pembangunan sosial dan ekonomi dilaksanakan secara seimbang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, dua agensi penting menjadi tonggak kerajaan dalam usaha melindungi alam sekitar di Sabah iaitu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JAS).
“JPAS adalah jabatan di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) yang menguatkuasakan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 dan memainkan peranan utama dalam memastikan dimensi alam sekitar diterapkan sewajarnya ke dalam perancangan, pelaksanaan dan kawalan aktiviti pembangunan, serta penggunaan sumber asli secara mampan.
“JPAS turut berperanan menangani isu pencemaran dan masalah alam sekitar di Sabah melalui pendekatan strategik yang holistik, di samping memupuk rangkaian kerjasama antara agensi dan perkongsian pintar dalam melaksanakan pelbagai program pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
“JPAS juga bertindak sebagai Urus Setia Sabah Environmental Education Network (SEEN) yang telah ditubuhkan sejak tahun 2005 sebagai satu rangkaian kerjasama strategik melaksanakan program pendidikan alam sekitar secara bersepadu di negeri Sabah.
“Manakala JAS adalah Jabatan Persekutuan yang berperanan dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan memantau kualiti alam sekitar melalui program pemantauan udara, sungai, marin dan air tanah.
“Dalam aspek kesedaran alam sekitar, JAS melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Rakan Alam Sekitar, Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar, Kampus Lestari, Kempen Perlindungan Lapisan Ozon, Pencegahan Pembakaran Terbuka, Kesedaran Pengumpulan Household E-Waste dan sebagainya.
“Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2017 dan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah 2009 adalah dokumen strategik dalam memelihara dan memulihara alam sekitar dan sumber asli di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Khamis.
Jelasnya, sambutan HASN merupakan acara tahunan yang dianjurkan susulan termaktubnya Deklarasi Langkawi mengenai alam sekitar pada 21 Oktober 1989, bertujuan menggalakkan seluruh masyarakat bersama-sama meraikan semangat kecintaan terhadap alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf JPAS atas kejayaan melancarkan Laporan Petunjuk Alam Sekitar (Sabah Environmental Indicator Report) 2025.
“Laporan ini memberikan gambaran menyeluruh berasaskan data mengenai keadaan semasa alam sekitar di Sabah dengan memfokuskan kepada tema-tema utama alam sekitar iaitu guna tanah, udara, kualiti air, biodiversiti serta dimensi sosial.
“Selain itu, turut mengetengahkan trend, cabaran serta tindakan penyelesaian berdasarkan pematuhan standard yang ditetapkan sebagai asas rujukan pemantauan, perancangan dan pembuatan keputusan yang strategik,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) yang telah menyumbang RM100,000 bagi membantu menjayakan penganjuran program Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) kali ke-14.
“Program SERASI dimulakan pada 2003 dan merupakan flagship programme untuk pendidikan alam sekitar di Sabah, dianjurkan bersama oleh JPAS dan JAS dengan kerjasama jabatan dan agensi lain.
“Program SERASI diadakan bagi mengiktiraf usaha murni warga sekolah di seluruh Sabah dalam pelaksanaan pendidikan dan kesedaran alam sekitar di sekolah dan juga bersama komuniti setempat,” tambahnya.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Daisy Aloysius; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali; Government Affairs Manager ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, Faisal Rashid; dan Head of Sabah Petroleum Development PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP), Low Kok Wee.