KBSK komited sokong program Khatam al-Quran di sekolah

TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) komited menyokong pelaksanaan program Khatam al-Quran di sekolah bagi memupuk kecintaan terhadap kitab suci itu dalam kalangan generasi muda.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementerian bersedia memberikan sokongan dan kerjasama terhadap usaha yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sahsiah serta kerohanian golongan muda di negeri ini.

Menurutnya, usaha membudayakan amalan membaca dan memahami al-Quran perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan pihak sekolah, guru serta ibu bapa.

“Kita akan sentiasa mendukung dan menyokong apa juga usaha yang boleh memberikan manfaat kepada generasi muda di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Perdana Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas penganjuran program itu, Nizam berkata, beliau menyambut baik inisiatif PPD Tawau yang berjaya menghimpunkan lebih 1,000 murid Tahun Enam daripada 61 sekolah kebangsaan di daerah ini.

Katanya, program berkenaan difahamkan sebagai yang pertama seumpamanya dianjurkan secara berpusat di Sabah berbanding sebelum ini yang dilaksanakan secara berasingan di setiap sekolah.

Menurutnya, penganjuran itu memberi peluang kepada murid berkumpul dan memperlihatkan komitmen mereka dalam membaca al-Quran, selaras dengan tema ‘Mahabatul Quran Fi Qalbi’ yang membawa maksud kecintaan terhadap al-Quran sentiasa terpahat dalam hati.

“Anak-anak perlu dididik mencintai al-Quran sejak usia muda supaya mereka sentiasa mendampinginya dan menjadikan ajarannya sebagai panduan kehidupan.

“Saya yakin apabila generasi muda sentiasa dekat dengan al-Quran, kehidupan mereka akan lebih terpelihara daripada gejala tidak sihat, selain membentuk keyakinan diri untuk terus berjaya dalam pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam mencadangkan supaya amalan membaca al-Quran diperluaskan kepada guru dan seluruh warga sekolah menerusi aktiviti bacaan selama 15 minit setiap Jumaat.

Katanya, pendekatan itu boleh dijadikan amalan berterusan sebelum kemuncaknya diraikan menerusi penganjuran Majlis Khatam al-Quran Perdana pada tahun berikutnya.

Beliau berkata, pembentukan generasi berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai agama bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah, sebaliknya memerlukan sokongan serta bimbingan ibu bapa dalam keluarga.

Jelasnya, penglibatan semua pihak penting bagi memastikan anak-anak mengamalkan tuntutan agama seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan membaca al-Quran dalam kehidupan seharian.