Ketua Menteri mahu PPM lebih proaktif sampaikan dasar kerajaan

KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pemaju mukim perlu lebih proaktif turun padang, mengenal pasti keperluan rakyat serta menjelaskan dasar dan pencapaian kerajaan bagi memastikan sokongan masyarakat terhadap pentadbiran negeri terus kukuh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PPM dan pemaju mukim merupakan tulang belakang kerajaan di peringkat akar umbi dan memikul amanah besar untuk memastikan dasar kerajaan dapat diterjemahkan serta difahami rakyat.

Beliau berkata, mereka juga bertanggungjawab menyampaikan masalah dan keperluan masyarakat kepada wakil rakyat, menteri serta kepimpinan kerajaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Peranan pemimpin-pemimpin masyarakat ini amat besar kepada saya dan juga kerajaan. Kita bukan sahaja perlu amanah dan mempunyai integriti tinggi, tetapi mesti memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil-wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada kita.

“Apabila turun padang, kita mesti pandai mendengar masalah rakyat dan melaporkannya kepada wakil rakyat, menteri serta Ketua Menteri,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam Ahad.

Hajiji berkata, PPM dan pemaju mukim juga perlu memastikan permohonan serta keutamaan pembangunan di kawasan masing-masing disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan diserahkan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Katanya, beliau mendapati terdapat permohonan yang dikemukakan oleh kontraktor, sedangkan perkara berkenaan sepatutnya disampaikan oleh PPM, Pegawai Daerah dan wakil rakyat.

Beliau mahu PPM dan pemaju mukim memberikan kerjasama sepenuhnya kepada wakil rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri juga mahu mereka menjelaskan pencapaian kerajaan sepanjang lima tahun lalu serta program yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion bagi membantu anak Sabah dalam bidang pendidikan sepanjang lima tahun lalu, termasuk lebih RM600 juta untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 16,000 pelajar.

“Antara bantuan lain ialah RM200 kepada setiap pelajar Tingkatan Lima sebelum menduduki peperiksaan, melibatkan kira-kira 35,000 hingga 40,000 pelajar setahun.

“Kerajaan turut menyediakan bantuan RM300 kepada pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini untuk pulang menyambut Kaamatan, Hari Raya dan Krismas, selain subsidi tiket penerbangan RM600 setahun kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung”, katanya.

Dalam aspek kebajikan, beliau berkata, kira-kira 140,000 penerima yang layak menerima bantuan RM200 setiap bulan menerusi inisiatif SYUKUR.

Kerajaan juga telah membina lebih 11,000 rumah menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengenai bekalan air, Hajiji berkata kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion bagi projek pembinaan loji rawatan air sepanjang lima tahun lalu. Antaranya, projek loji rawatan air di Tawau yang mencapai kemajuan fizikal sekitar 50 hingga 60 peratus menerusi pinjaman mudah hampir RM400 juta, manakala projek loji rawatan air Kogopon di Papar yang menggunakan pinjaman mudah RM385 juta dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperoleh pinjaman mudah RM300 juta bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air di seluruh Sabah, dengan beberapa projek sudah siap dan selebihnya dijangka siap tahun depan.

Beliau berkata Sabah masih berdepan kadar air tidak berhasil (NRW) sekitar 60 peratus akibat kecurian air dan kebocoran paip. Sehubungan itu, RM100 juta diperuntukkan bagi menggantikan paip lama dan rosak di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Ranau, Kudat dan Pulau Banggi.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan sedang melaksanakan projek Empangan Ulu Padas menerusi kerjasama Sabah Energy Corporation dan syarikat swasta-Gamuda, yang bukan sahaja membekalkan tenaga elektrik tetapi juga air untuk tempoh 50 hingga 60 tahun akan datang. Projek itu dijangka siap pada 2030 atau 2031.

Hajiji berkata PPM juga perlu membantu menjelaskan isu pembangunan jalan raya dan kemudahan awam berdasarkan fakta, termasuk membezakan tanggungjawab kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, mereka perlu memainkan peranan menjelaskan maklumat sebenar kepada rakyat, khususnya golongan yang tidak mengikuti perkembangan di media sosial, bagi mengelakkan salah faham terhadap usaha kerajaan.