KUNAK: Dua pemandu cedera, seorang daripadanya parah, selepas kereta Proton Wira dan Perodua Alza bertembung di Simpang Kuburan Lormalong, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.33 pagi itu, kedua-dua mangsa, masing-masing lelaki dan wanita, tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum empat anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba pada jam 6.43 pagi dan mendapati kedua-dua pemandu masih tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
“Mangsa wanita yang memandu Perodua Alza berjaya dikeluarkan pada jam 7.05 pagi, manakala pemandu lelaki Proton Wira dikeluarkan pada jam 7.15 pagi.
“Mangsa wanita mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki, manakala mangsa lelaki cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bomba.
“Mangsa wanita dihantar menggunakan ambulans KKM, manakala mangsa lelaki dibawa menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.” katanya