Bekas pegawai ESSCOM saman kerajaan, PDRM RM190 juta: Perbicaraan penuh bermula hari ini

TAWAU: Perbicaraan kes saman sivil berjumlah RM190 juta yang difailkan bekas pegawai kanan dan anggota perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 11 defendan lain bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos dengan saksi pertama pihak plaintif, Nurima Juli, 36, dipanggil memberi keterangan.

Perbicaraan dijadual berlangsung selama 30 hari secara berperingkat bermula minggu ini membabitkan tiga saman sivil yang difailkan pada 2024 dan 2025 sebelum disatukan untuk dibicarakan sebagai satu tindakan.

Plaintif diwakili dua pasukan peguam daripada firma guaman berbeza iaitu Messrs Lincon & Co. yang diwakili Masyaroh John Ridwan Lincon bersama Zahbia Ophent, Rasrina Patrick T. Rining dan Fadzidahtul Ardianah.

Manakala satu lagi pasukan daripada Messrs Chang & Kamarudin, Advocates & Solicitors diwakili Kamarudin Mohmad Chinki bersama Datuk Ram Singh, Chen Wen Jye serta Prabjit Singh.

Sementara pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Afiq Nazrin Zaharinan bersama Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber dan Anis Najwa Nazari daripada Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan bermula hari ini hingga 7 Ogos 2026; 21 hingga 25 September 2026; 26 hingga 30 Oktober 2026; 16 hingga 20 November 2026; 7 hingga 11 Disember 2026; serta 18 hingga 22 Januari 2027.

Pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan tiga saman yang difailkan plaintif pada 2024 dan 2025 digabungkan untuk dibicarakan bersama selepas mendapati kesemua tindakan berkenaan membabitkan defendan serta fakta yang sama.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa ketiga-tiga saman berkenaan berkaitan peristiwa sama termasuk penangkapan, tahanan, siasatan dan pendakwaan berkaitan pertuduhan pembunuhan, selain bagi mengelakkan keputusan yang bercanggah sekiranya kes dibicarakan secara berasingan.

Kesemua plaintif sebelum ini adalah antara lapan tertuduh yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari 2023 daripada pertuduhan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Pada 15 Ogos 2024, bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner (B) Datuk Mat Zaki Md Zain bersama tiga bekas anggota unit perisikan iaitu Fabian anak Rungan, Dennis anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran memfailkan saman menuntut RM100 juta.

Sementara itu, Sarjan Khairul Azman Bakar, Inspektor John Kennedy Anak Sanggah serta isterinya Vivien Fabian turut memfailkan saman pada 30 Jun dan 4 Julai 2025 dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM90 juta.