64 warga asing ditahan dalam operasi imigresen

KOTA KINABALU: Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Selera, Ops Bersama, Ops Kutip dan Ops Belanja dengan pemeriksaan terhadap 249 individu.

Katanya, di Kota Kinabalu, Ops Selera memeriksa 38 individu sebelum menahan tujuh warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Daripada jumlah itu, enam warga Filipina terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan dewasa, manakala seorang lagi lelaki dewasa adalah warga Pakistan.

“Mereka ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah selain melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, di Sandakan pula, menerusi Ops Bersama dan Ops Kutip, seramai 145 individu diperiksa dan 28 warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.

“Daripada jumlah itu, 21 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki dan lapan perempuan dewasa.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki dan dua perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia, selain tiga lelaki dewasa warga India,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, di Tawau, Ops Kutip dan Ops Belanja memeriksa 66 individu sebelum menahan 29 warga asing.

“Tangkapan membabitkan lima warga Filipina iaitu empat lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Bagi warga Indonesia pula, ia membabitkan 11 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.