Padah berlumba di jalan raya, dua pemandu dipenjara tiga hari, denda RM2,000

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman tiga hari penjara dan denda RM2,000 masing-masing terhadap dua lelaki kerana mengambil bahagian dalam aksi menduga kelajuan di Jalan Apas, Jun lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sunardi Mardeka, 21, dan Ruslimin Alie, 53, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada kira-kira 6.22 pagi, 22 Jun lalu, Sunardi yang memandu Perodua Bezza dari arah Batu 2 menuju ke Batu 15, Jalan Apas, memberi tindak balas terhadap sebuah Honda Civic yang dipandu Ruslimin selepas kenderaan itu beberapa kali memecut dan menekan pedal minyak dengan kuat di kawasan Batu 5.

Situasi kemudian berubah apabila kedua-dua pemandu saling mencabar dan tidak mahu mengalah sebelum memecut serta saling mengejar sambil memotong kenderaan lain secara zig-zag dan berbahaya sehingga ke Batu 13, Jalan Apas.

Aksi berkenaan bagaimanapun dirakam dalam video berdurasi kira-kira 20 saat melalui papan pemuka sebuah kenderaan lain yang kemudian tular di laman Facebook ‘Sabah Worst Drivers’ pada hari sama.

Menerusi rakaman itu menunjukkan kedua-dua kenderaan bergerak dalam keadaan konsisten dengan aksi menduga kelajuan dan saling mengejar di jalan awam, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

Berdasarkan semakan nombor pendaftaran kenderaan, polis kemudian berjaya mengenal pasti Sunardi sebagai pemandu Perodua Bezza sebelum dia diarahkan hadir bagi membantu siasatan.

Sunardi ditangkap pada 27 Julai lalu manakala semakan melalui sistem mySIKAP mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu yang sah ketika kejadian dan bagi kesalahan itu dia turut didenda RM500 atau tambahan penjara tiga hari jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Ruslimin ditahan polis pada 27 Julai lalu di Jalan Baru, Fajar, selepas dikenal pasti terbabit dalam aksi menduga kelajuan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Caption : Sunardi (dua dari kanan) dan Ruslimin (dua dari kiri) masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM2000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menduga kelajuan di Jalan Apas, Jun lalu. Foto | SS