‘KDM bukan anggota GRS, dia tarik sokongan itu dia punya pasallah’ – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan isu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak timbul kerana parti berkenaan bukan anggota gabungan itu.

Menurutnya, KDM tidak mempunyai kedudukan sebagai sebahagian daripada GRS, justeru sebarang keputusan berkaitan sokongan parti berkenaan tidak boleh dianggap sebagai penarikan sokongan terhadap gabungan itu.

“KDM ini bukan ahli GRS. Dia bukan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Jadi tidak timbul dia tarik sokongan atau tidak, itu dia punya pasallah.

“Yang penting di sini dia mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat ini di Paginatan telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengumumkan pelantikan 25 ketua penaja bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini, hari ini.

Hajiji berkata, perkara lebih penting ketika ini ialah sokongan wakil rakyat berkenaan terhadap kerajaan negeri di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Dia sokong kerajaan negeri. Ahli dia mungkin KDM lah. Yang penting sokongan dalam Dewan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerjasama antara parti yang menganggotai kerajaan negeri ketika ini akan diteruskan bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Katanya, kerajaan negeri kini dianggotai GRS bersama beberapa parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sekarang kerajaan negeri dianggotai oleh GRS dan dalam GRS ini ada beberapa buah parti, dan juga dianggotai oleh PH dan juga Barisan Nasional.

“Dan mereka sudah berada dalam kerajaan. Jadi kerjasama itu akan kita teruskan dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri pada hari ini,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Hajiji berkata GRS akan terus memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat walaupun tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

Beliau berkata, semua peringkat parti termasuk sayap-sayap akan digerakkan untuk turun padang dan mendekati rakyat.

“Sebagai parti yang mengetuai kerajaan, kita mesti bersedia daripada sekarang menggerakkan parti semua peringkat termasuk sayap-sayap dengan turun ke bawah buat program untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum.

“Kita sentiasa bekerja turun ke bawah menemui rakyat untuk kita perkuatkan jentera parti GRS dan juga PGRS (Gagasan Rakyat),” katanya.