KOTA KINABALU: Bantuan pendidikan yang diterima Siti Nursafirah Abdul Hadi, 24, membantu meringankan beban kewangan sepanjang mengikuti pengajian sarjana secara sepenuh masa di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Nursafirah yang sedang mengikuti pengajian sarjana dalam bidang Geografi, Sains Sosial berkata, bantuan berkenaan amat membantu terutama dalam menampung yuran pengajian yang mencecah hampir RM4,000 bagi Semester Satu dan Dua.
“Bantuan ini sangat membantu dari segi pembayaran yuran dan juga kajian saya. Saya merupakan pelajar sepenuh masa yang menjalankan penyelidikan, jadi bantuan ini sangat membantu saya untuk membuat kajian dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah, di sini.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, kos pengajian turut merangkumi perbelanjaan untuk menjalankan penyelidikan dan kerja lapangan yang perlu dilaksanakan sepanjang pengajian.
Berasal daripada keluarga M40, bapanya bekerja sebagai guru manakala ibunya merupakan suri rumah.
Siti Nusafirah berkata, selepas menamatkan pengajian sarjana, beliau merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), selain mencari peluang pekerjaan.
Bagi Nursafirah yang kini berada di sem kedua pengajiannya turut berharap lebih banyak bantuan pendidikan dapat disediakan bagi membantu pelajar yang mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, bantuan sedemikian bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, malah memberi peluang kepada pelajar untuk memberi tumpuan yang lebih baik terhadap pengajian dan penyelidikan.
Sementara itu, Nuratifa Solehah Narsani, 24, yang berasal dari Lahad Datu dan dibesarkan di Penampang, turut menganggap bantuan pendidikan yang diterimanya sebagai peluang bermakna selepas beberapa kali mencuba mendapatkan biasiswa sejak peringkat ijazah.
Nurattifah, yang merupakan anak tunggal berkata bantuan itu diterima pada ketika bapanya yang menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga bakal bersara dalam beberapa bulan lagi.
“Sebelum ini memang banyak saya cuba untuk mendapatkan biasiswa sejak degree, tetapi tidak pernah berjaya. Kali ini saya amat bersyukur kerana mendapat bantuan ini.
“Bapa saya akan bersara tidak lama lagi dan saya pula belum mempunyai pekerjaan tetap. Saya hanya menjalankan perniagaan sendiri dan kini sedang mencari kerja sambilan,” jelasnya.
Menurutnya, ibu bapanya tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, justeru beliau mahu menjadi penerus kepada impian mereka melalui pendidikan.
Nuratifah turut berharap pelajar lain tidak mudah berputus asa dalam mencari peluang melanjutkan pengajian, termasuk mendapatkan bantuan atau biasiswa yang disediakan kerajaan.
“Saya sendiri sudah lama mencuba dan akhirnya Alhamdulillah, ada rezeki untuk mendapat bantuan. Jadi, kalau ada semangat untuk belajar, teruskan dan jangan mudah berputus asa,” tambahnya.