KOTA BELUD: Sebuah rumah jenis kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Kuala Abai, Kampung Sembirai, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 malam.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.
“Setibanya di lokasi pada jam 7.49 malam, pasukan mendapati sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 60 x 40 kaki terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dan dua pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Elge berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.10 malam dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 malam selepas pemeriksaan dilakukan dan pihaknya memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
“Operasi turut dibantu tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota Sabah Electricity (SE),” katanya.