Latar belakang keluarga bukan penghalang Nurhaidah lanjut pengajian hingga sarjana

KOTA KINABALU: Latar belakang keluarga berpendapatan rendah bukan penghalang bagi Nur Haidah Azlan untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat sarjana, malah bantuan pendidikan yang diterimanya membantu mengurangkan beban kewangan sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Likas itu berkata, beliau dibesarkan dalam keluarga B40 dan sejak kecil tidak didedahkan dengan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Dari kecil, kami tidak begitu terbuka kepada pengajian lebih tinggi.

“Asalkan habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah memadai. Tetapi saya cuba keluar daripada kepompong itu kerana saya percaya walaupun dibesarkan dalam keluarga yang tidak begitu senang, ia bukan penghalang untuk kita maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah, di sini, pada Jumaat.

Pelajar berusia 27 tahun itu berkata, beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat diploma sebelum menyambung pengajian ijazah ketika negara berdepan pandemik COVID-19, dan kini sedang mengikuti pengajian sarjana dalam bidang Sosiologi dan Antropologi di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, perjalanan melanjutkan pengajian turut memerlukan beliau bekerja sambilan bagi menampung keperluan kewangan, termasuk sebagai kru jamuan, kru acara serta pembantu penyelidik (research assistant) di UMS.

“Memang struggle is real. Saya buat kerja sambilan sebagai kru jamuan, event crew dan juga research assistant di UMS untuk membantu menanggung pengajian.

“Dengan adanya bantuan ini, ia sangat membantu saya untuk lebih fokus kepada pengajian,” jelasnya.

Menurutnya, bantuan berkenaan turut membantunya menampung keperluan berkaitan pengajian seperti yuran, penerbitan kertas penyelidikan dan keperluan menjalankan kajian.

“Kalau perlu menyediakan jumlah seperti RM1,000, ia agak berat apabila tiada bantuan. Tetapi dengan adanya bantuan seperti ini, urusan untuk menerbitkan kertas penyelidikan dan membeli keperluan bagi informan dapat dilakukan dengan lebih mudah.

“Yuran pula sudah ditanggung sehingga tamat semester, jadi saya boleh lebih fokus kepada pengajian dan kehidupan harian,” ujarnya.

Nurhaidah yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu berkata, beliau juga menjadi ahli pertama dalam keluarganya yang melanjutkan pendidikan ke tahap sarjana.

Katanya, kebanyakan adik-beradiknya menamatkan pengajian sehingga peringkat diploma sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Saya kira saya yang pertama memecahkan tradisi itu. Bagi saya, usia bukan penghalang untuk terus belajar.

“Walaupun sudah melepasi usia tertentu, kita masih boleh memilih untuk terus belajar dan meningkatkan diri,”jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas bantuan pendidikan yang diterimanya sejak pengajian di peringkat ijazah.

“Bantuan daripada Kerajaan Negeri Sabah ini memang sangat banyak membantu saya. Sebelum ini, saya telah menerima bantuan peranti siswa, komputer riba dan kini bantuan ini pula.

“Bagi saya, ini merupakan bantuan yang berterusan dan sangat bermakna sepanjang perjalanan pendidikan saya,” tambahnya.

Nurhaidah berkongsi bahawa pengalaman itu mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha mencari peluang yang boleh membantu mencapai matlamat pendidikan.

“Kalau kita tidak mencari, kita tidak akan mendapat. Apa-apa pun kita kena berusaha dan mencari peluang. Usaha tidak pernah mengecewakan hasil,” katanya.