KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Albert Tei dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kerana menghina mahkamah.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal mendapati kedua-duanya dengan sengaja melanggar syarat jelas yang terkandung dalam perintah ex parte dan perintah ad interim yang dikeluarkan mahkamah.
“Walaupun syarat dalam perintah ex parte dan ad interim itu jelas, saya mendapati terdapat pelanggaran nyata terhadap kedua-dua perintah mahkamah berkenaan,” katanya dalam penghakiman bertarikh 18 September lalu.
Mahkamah turut memerintahkan Tei dan Jontih membayar denda berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Kegagalan berbuat demikian menyebabkan kedua-duanya berdepan hukuman penjara selama 21 hari.
SMM diwakili peguam, Roger Chin, manakala Jontih dan Tei masing-masing diwakili Jul Hamri Jumhani serta Chong Kian Ming.
SMM sebelum ini menyaman Jontih dan Tei pada Januari 2025 atas dakwaan penipuan, pelanggaran kewajipan fidusiari, manipulasi dokumen rasmi serta konspirasi untuk memudaratkan syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, Tei juga sedang dibicarakan atas beberapa pertuduhan rasuah yang membabitkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri.
Pada Ogos tahun lalu, Tei pula menyaman SMM selepas mendakwa syarikat berkenaan mengaitkannya secara palsu dengan konspirasi untuk menjejaskan reputasi syarikat dan CEO semasanya, selain dakwaan manipulasi dokumen.
Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menolak saman fitnah yang difailkan Tei selepas memutuskan ahli perniagaan itu gagal membuktikan unsur fitnah dalam tuntutannya.