Lelaki 18 tahun ditahan polis kerana disyaki cabul pelancong dalam bilik resort

SEMPORNA : Seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas seorang wanita warga China mendakwa seorang lelaki menceroboh biliknya dan mencabulnya di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi ketika mangsa, 25, sedang tidur di dalam bilik penginapan sebelum tersedar dan mendapati seorang lelaki berada di dalam bilik berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, berlaku pergelutan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dari bilik tersebut dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sehingga ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi.

“Mangsa turut mendakwa rambutnya ditarik suspek ketika melarikan diri sehingga menyebabkannya terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata hasil maklumat dan siasatan awal, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan suspek kira-kira 8 malam semalam di kawasan resort berkenaan.

Beliau berkata suspek kemudian dibawa ke IPD Semporna untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan,” katanya.

Tan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan.

“Polis Daerah Semporna memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional,” katanya.