Rasai sendiri pengalaman Bas Pink, Suryady mahu perkhidmatan diperluas ke Tawau, Sandakan

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi merasai sendiri pengalaman menaiki Bas Pink laluan S06 bersama keluarganya, baru-baru ini. .

Beliau berkata, pengalaman menggunakan perkhidmatan berkenaan memberi gambaran secara langsung mengenai tahap keselesaan dan kemudahan yang disediakan kepada pengguna pengangkutan awam.

Menurutnya, secara keseluruhan perkhidmatan Bas Pink yang dicubanya itu selesa selain menawarkan kadar tambang yang berpatutan.

“Saya berkesempatan mencuba Bas Pink laluan S06 bersama keluarga.

“Pada pandangan saya, perkhidmatan ini selesa dan tambangnya juga berpatutan,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, semalam.

Dalam pada itu, Suryady berpandangan jumlah perhentian bas boleh ditambah bagi memudahkan lebih ramai penduduk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Beliau turut mencadangkan supaya perkhidmatan Bas Pink diperluaskan ke kawasan lain termasuk Tawau dan Sandakan.

“Perhentian bas boleh diperbanyakkan lagi dan perkhidmatan Bas Pink ini juga boleh dibawa ke Tawau serta Sandakan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman menggunakan pengangkutan awam secara langsung penting bagi melihat sendiri keperluan dan kemudahan yang boleh ditambah baik demi keselesaan masyarakat.