Enam rumah di Taman Jumbo Putatan terbakar

PUTATAN: Enam rumah kediaman jenis kekal di Taman Jumbo, di sini, terbakar dengan tahap kemusnahan antara 20 hingga 80 peratus dalam kejadian petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang sebelum jentera tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Beliau berkata, kebakaran pada awalnya membabitkan tiga rumah sebelum pemeriksaan lanjut mendapati api turut merebak ke tiga rumah lain.

“Daripada enam rumah terbabit, tiga mengalami kemusnahan sebanyak 80 peratus, manakala dua lagi masing-masing terbakar 70 dan 30 peratus.

“Sebuah lagi rumah mengalami kemusnahan sebanyak 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Musran berkata, operasi pemadaman membabitkan 36 anggota dari BBP Putatan, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang.

Katanya, bekalan elektrik di kawasan Taman Jumbo dan sekitarnya turut diputuskan Sabah Electricity bagi membantu kelancaran operasi pemadaman.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 6.43 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.