Hampir 5,000 peserta meriahkan Hari Sukan Negara Sabah

TUARAN: Hampir 5,000 peserta membanjiri Padang Istiadat Tuaran bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026, sekali gus membuktikan sokongan masyarakat terhadap usaha membudayakan gaya hidup aktif dan sihat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk Tuaran dan kawasan sekitarnya mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap program sukan yang dianjurkan kerajaan.

Menurutnya, kehadiran peserta seawal pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan menunjukkan semangat dan komitmen rakyat dalam menjayakan sambutan berkenaan.

“Saya amat teruja dan sukacita melihat sambutan daripada warga Tuaran dan sekitarnya yang membanjiri padang ini untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam semua acara yang disediakan.

“Ini menunjukkan rakyat Sabah begitu menyokong program yang dianjurkan kerajaan, khususnya Hari Sukan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan juga telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Nizam berkata, sukan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya perlu dijadikan amalan sepanjang hayat bagi memastikan masyarakat kekal sihat, cergas dan sejahtera.

Katanya, budaya bersukan perlu diterapkan dalam kalangan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, agama atau usia, termasuk golongan muda dan warga emas.

“Masyarakat yang sihat mampu menyumbang kepada pembangunan negeri yang lebih baik serta mewujudkan kehidupan yang sejahtera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyambut baik inisiatif kerajaan Persekutuan dalam mengiktiraf aktiviti berkaitan industri gig, yang disifatkannya mempunyai potensi besar seiring perkembangan teknologi dan ekonomi digital.

Beliau berkata, kemahiran serta kepakaran dalam bidang digital semakin penting bagi memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini, selain membuka peluang kepada golongan muda untuk meneroka sumber pendapatan baharu.

Katanya, sokongan kerajaan melalui penyediaan ruang dan peluang kepada penggiat industri gig dapat membantu mereka mengembangkan kemahiran serta meningkatkan penyertaan dalam sektor berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap peluang sedemikian turut diperluas kepada golongan muda di Sabah supaya mereka dapat menceburi industri gig, memanfaatkan perkembangan teknologi dan meningkatkan potensi diri.