TAWAU: Ketua Penerangan Pusat Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menafikan sekeras-kerasnya mempunyai kaitan dengan Upik atau kumpulan jenayah berkenaan susulan penularan poster yang mengaitkan dirinya sebagai individu berstatus VIP.
Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat semua pihak yang disyaki membiayai, membantu atau melindungi kegiatan jenayah itu, termasuk ahli politik, berdasarkan bukti yang boleh dipercayai.
Menurutnya, siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh tanpa melindungi mana-mana pihak atau dipengaruhi kedudukan dan pengaruh individu tertentu.
Beliau turut menggesa bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, supaya menjelaskan dakwaan berhubung kemungkinan wujud perlindungan politik terhadap kumpulan berkenaan.
Katanya, sebarang maklumat atau bukti berkaitan dakwaan itu perlu diserahkan kepada polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Azis menegaskan, siasatan, tangkapan dan pendakwaan perlu dilaksanakan mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Beliau berkata, prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, kedudukan atau pengaruh politik masing-masing.
Terdahulu, tular poster di media sosial yang mengaitkan Azis sebagai individu berstatus VIP dalam isu geng Upik, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayob Khan menerusi perkongsian dalam sebuah podcast mendedahkan strategi kerahsiaan yang digunakan ketika merancang operasi khas bagi menumpaskan rangkaian kartel berkenaan.
Beliau berkata, keputusan untuk tidak menggunakan pegawai dari Sabah dalam operasi itu dibuat bagi mengelakkan maklumat mengenai pergerakan pasukan keselamatan tersebar lebih awal.
Menurutnya, kehadiran pegawai Bukit Aman di Kota Kinabalu sahaja boleh mencetuskan khabar angin di seluruh Sabah bahawa operasi besar sedang dirancang.
Ayob Khan turut mendedahkan beliau mendapatkan kerjasama Panglima Tentera Udara sebagai sebahagian daripada strategi bagi memastikan operasi berkenaan berjalan lancar tanpa dihidu pihak sasaran.