TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia dihukum penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa rakannya, bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Risna, 26, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu Proton Saga di jalan raya pada kira-kira 3 petang, 26 September lalu, memandu tanpa lesen sah dengan cara yang berbahaya kepada orang awam selepas mengambil kira segala keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam rayuan, peguam Jhassery P Kang memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua anak, tidak bekerja dan merupakan suri rumah.
Tertuduh turut menyatakan kekesalan selain memaklumkan kesalahan itu adalah kesalahan pertama dilakukannya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Pendakwaan memaklumkan kemalangan berkenaan mengakibatkan kematian seorang wanita berusia 24 tahun yang juga rakan tertuduh dan meninggalkan seorang anak berusia dua tahun lima bulan ketika kejadian.
Menurut pendakwaan, hukuman terhadap tertuduh bukan sahaja bertujuan menghukum, malah memberi mesej jelas mengenai keseriusan kesalahan pemanduan berbahaya serta melindungi kepentingan awam.
Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh sebelum ini didakwa pada 9 September lalu mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mengaku bersalah.
Tertuduh kemudian dijatuhi denda RM4,000 yang sudah dijelaskannya, namun kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau sementara menunggu tindakan lanjut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.