KOTA KINABALU, 27 Oktober 2026: Datuk Madiyem Layapan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sabah Oil Palm Industry Authority (SOPIA), sebuah agensi baharu di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar menyerahkan watikah pelantikan kepada beliau dalam satu acara ringkas di sini, hari ini.
Madiyem, 66 mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam apabila pernah bertugas di beberapa kementerian dan memegang jawatan Setiausaha Tetap serta Pegawai Daerah.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
SOPIA ditubuhkan bagi menguruskan penanaman, pembangunan dan hala tuju industri kelapa sawit di Sabah.
Jamawi berkata pelantikan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan agensi berkenaan bagi memastikan pembangunan industri kelapa sawit negeri dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Beliau berkata SOPIA diharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri berkenaan, termasuk menyelaras peranan dan pendekatan sedia ada bagi mengelakkan pertindihan dengan inisiatif yang telah dilaksanakan.
Menurutnya, perbincangan dengan Menteri Perladangan dan Komoditi di peringkat Persekutuan turut diadakan bagi memastikan peranan serta pelaksanaan SOPIA selaras dengan usaha pembangunan industri kelapa sawit.
Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ts. Jifrin Mohamad dan Pengurus Besar SOPIA, Julia Majail.