KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Solid Waste Management Innovation Challenge(BSWMIC) 2026 menjadi platform Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) dalam memacu inovasi pengurusan sisa pepejal.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin, yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS berkata, menerusi inisiatif tersebut, UMS sedia membantu dalam aspek pengesahan teknologi, pengujian prestasi, pembangunan prototaip, penambahbaikan proses dan kajian kebolehlaksanaan.
KKTP dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula katanya boleh membantu mengenal pasti masalah sebenar serta lokasi yang sesuai untuk menguji inovasi tersebut.
“Bayangkan sekiranya daripada ratusan idea yang diketengahkan melalui BSWMIC, beberapa inovasi berjaya digunakan oleh PBT atau industri di Sabah, itulah impak yang kita inginkan.
“Kita mahu membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat menghasilkan ilmu, tetapi juga rakan penyelesaian masalah kepada kerajaan, industri dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Ketua Pegawai Digital, Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim sempena Majlis Apresiasi BSWMIC 2026, di sini.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur BSWMIC 2026, Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun, berkata pertandingan itu diperkenalkan di bawah Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 bagi menyediakan platform kepada masyarakat untuk menghasilkan idea, teknologi dan inovasi yang mampu menangani cabaran pengurusan sisa pepejal di Sabah.
“Hasrat kami adalah mudah, kita tidak mahu sekadar mengadakan pertandingan inovasi, tetapi mahu mencari penyelesaian sebenar kepada masalah pengurusan sisa pepejal di Sabah.
“Melalui inovasi, sisa boleh menjadi sumber, bahan buangan boleh menjadi produk, masalah alam sekitar boleh menjadi peluang ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, wakil KKTP, Mariati Mastor berkata pengurusan sisa pepejal memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk pengurangan sisa di punca, pengasingan bahan buangan, amalan guna semula, kitar semula dan pemulihan sumber.
“Untuk itu, dalam menjayakan pertandingan ini, KKTP turut menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM21,410 selain mendapat sokongan PBT yang membantu penyelarasan dan pelaksanaan pertandingan di lima zon berkenaan.
“Kerjasama antara universiti, kerajaan tempatan, industri dan komuniti penting bagi memastikan inovasi yang dihasilkan berpotensi dibangunkan menerusi pengujian lapangan dan projek perintis,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, UMS turut memperkukuh hubungan strategik dengan Sabah Plumber Association (SPA) menerusi penandatanganan Surat Niat (LOI) antara Fakulti Kejuruteraan (FKJ), UMS dengan persatuan itu.
Kerjasama berkenaan mampu membuka ruang lebih luas dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi, pengkomersialan serta pemindahan ilmu dan teknologi, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antara universiti dengan industri.
BSWMIC platform UMS, KKTP jadikan sisa pepejal sebagai sumber ekonomi dan inovasi