RM30 juta diperuntuk bantu PMKS kembangkan perniagaan tahun depan

KOTA KINABALU: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta menerusi SME Corp tahun depan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan melalui kemudahan pembiayaan dan program pembangunan kapasiti.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamain berkata, daripada jumlah itu, RM3 juta dikhususkan bagi program pembangunan kapasiti, manakala baki RM27 juta diperuntukkan untuk kemudahan pembiayaan.

Menurutnya, peruntukan berkenaan turut memberi peluang kepada lebih ramai usahawan di Sabah dan Sarawak mendapatkan sokongan kerajaan bagi memperkukuh serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Kementerian juga sedang mempertimbangkan penempatan pegawai khusus di kedua-dua negeri itu bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat, bimbingan dan panduan berkaitan program serta kemudahan pembiayaan yang disediakan.

“Insya-Allah saya berbincang dengan CEO dan juga pihak berkaitan supaya kita letakkan staf yang khas untuk Sabah dan Sarawak untuk bantu mereka. Potensi di Sabah ini begitu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, potensi sektor keusahawanan di Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk dengan menggalakkan lebih ramai usahawan menerapkan prinsip ESG dalam operasi perniagaan.

Katanya, tahap kesedaran mengenai amalan ESG dalam kalangan PMKS masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan usahawan memahami kepentingan pemeliharaan alam sekitar, kebajikan tenaga kerja serta pelaksanaan tadbir urus yang baik.

Menurutnya, penerapan prinsip berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar, malah menggalakkan pengurusan perniagaan yang lebih bertanggungjawab, teratur dan mampan.

Dalam pada itu, beliau berkata, usahawan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program bantuan termasuk inisiatif PKSLestari dan program berkaitan ESG boleh merujuk Portal Hebahkan Perniagaan Malaysia serta portal rasmi SME Corp.

Katanya, kedua-dua platform berkenaan menyediakan maklumat berkaitan program keusahawanan, kemudahan pembiayaan, syarat kelayakan dan kaedah permohonan.

Seminar berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta menampilkan panelis berpengalaman daripada pelbagai bidang bagi meningkatkan pemahaman PMKS mengenai pelaksanaan amalan ESG dalam perniagaan.