KOTA KINABALU: Sebanyak 11 sekolah menerima anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Sabah 2026, pada Khamis.
Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Holy Trinity, Tawau muncul johan, manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Tong, Sandakan.
Kedua-dua sekolah berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta sijil pencapaian.
SMK Holy Trinity, Tawau turut meraih Anugerah SLAAS 2025/2026 Peringkat Kebangsaan bagi kategori sekolah menengah yang berlangsung di Melaka pada 21 September 2026.
Sementara itu, naib johan kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu, manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh SJKC Cheng Ming, Keningau.
Kedua-dua sekolah masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil pencapaian.
Tempat ketiga bagi kategori sekolah menengah disandang oleh SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang, manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk, Inanam.
Kedua-dua sekolah turut menerima wang tunai RM1,500 berserta sijil pencapaian.
Lima sekolah rendah turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000 berserta sijil, iaitu SJKC Chi Hwa, Sandakan; SK Buang Sayang, Papar; SK Kampung Simunul, Semporna; SK Kauluan, Tuaran; dan SJKC Chi Vun Entabuan, Tenom.
Penyampaian Anugerah SLAAS disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.
Program SLAAS yang mula diperkenalkan pada 2005 merupakan program kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program berkenaan turut diserikan dengan persembahan bertemakan alam sekitar daripada kumpulan Selangkah Tari dari SK Sembulan, Kota Kinabalu.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Daisy Aloysius; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali; Government Affairs Manager ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, Faisal Rashid; dan Head of Sabah Petroleum Development PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP), Low Kok Wee.