Dua hari hilang, warga emas ditemukan selamat di kawasan semak

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, ditemukan selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua, semalam.

Mangsa ditemukan di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang pada jam 2.20 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, operasi SAR dimulakan pada 4 November lalu selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan menerusi NG999 pada jam 6.29 petang.

“Berdasarkan maklumat keluarga, mangsa kali terakhir dilihat pada jam 4.30 petang, 3 November lalu dalam keadaan kebingungan di kawasan tepi jalan kampung,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Operasi pencarian pada hari pertama dijalankan bersama penduduk kampung di kawasan antara tanah perkuburan dan kandang ayam yang mempunyai kebun pisang, dengan jarak pencarian kira-kira satu kilometer.

Operasi kemudian ditangguhkan pada jam 8 malam sebelum disambung semula pada keesokan paginya dengan membabitkan 19 anggota daripada BBP Lintas, Unit K9, polis dan orang awam.

Pencarian hari kedua dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pasukan Bomba Lintas, Unit K9 bersama anjing pengesan Lexi serta penduduk kampung, dengan radius pencarian dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Operasi ditamatkan pada jam 3.30 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.