MFIS 2026 platform perkukuh hubungan Malaysia-Korea Selatan

Seoul: Penganjuran Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi pertukaran budaya, pelancongan serta kerjasama strategik kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata acara berkenaan bukan sekadar sebuah perayaan, sebaliknya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat, budaya dan aspirasi bersama membabitkan dua negara.

Beliau berkata, selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2026-2027, penganjuran MFIS 2026 membawa kehangatan layanan mesra rakyat Malaysia, keunikan tradisi serta kekayaan warisan budaya negara ke tengah-tengah bandar Seoul.

“Budaya dan pelancongan kekal sebagai antara medium penting yang membolehkan masyarakat kedua-dua negara saling mengenali, memahami serta membina persahabatan berkekalan.

“Menerusi platform seperti Malaysia Fair, kita berharap dapat memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, menggalakkan pertukaran budaya serta memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Korea untuk menerokai keindahan, kepelbagaian dan pengalaman unik yang ditawarkan Malaysia.

“Pada masa sama, kita juga berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati kekayaan budaya, warisan dan kemeriahan Republik Korea,” katanya ketika berucap sempena perasmian penganjuran MFIS 2026 di Seoul pada Sabtu.

Turut hadir Presiden Persatuan Kebudayaan Korea, Samuel Chung.

Mohd Zamruni (dua dari kiri) ketika meninjau salah satu reruai yang terdapat sempena Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026.

Dalam pada itu, Mohd Zamruni berharap festival itu dapat merapatkan hubungan masyarakat kedua-dua negara, mencipta kenangan bermakna serta membuka lebih banyak peluang kerjasama merentasi sempadan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fazbuzz Events & Media Sdn Bhd, Fazura Azima Ag Sha berkata antara objektif utama penganjuran MFIS 2026 adalah bagi meraikan kepelbagaian budaya Malaysia, memperluas pasaran produk dan jenama tempatan di Korea Selatan selain mengukuhkan hubungan dua hala serta menggalakkan kerjasama dalam sektor perdagangan, pendidikan mahupun industri kreatif.

“Korea Selatan merupakan salah satu pasaran pelancongan antarabangsa terbesar dan paling pesat berkembang bagi Malaysia.

“Pemilihan Seoul pula kerana bandar raya metropolitan ini merupakan pusat ekonomi dan ibu pejabat bagi konglomerat global terbesar Korea Selatan sekaligus menjadikannya lokasi paling strategik untuk memeterai kerjasama perniagaan (B2B) pelbagai sektor.

“Selain itu, kemudahan pelbagai rangkaian penerbangan terus yang kukuh ke hab utama Malaysia termasuk penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Justeru kita penyertaan pemain industri merangkumi pelbagai sektor termasuklah pelancongan, pendidikan, teknologi, produk pertanian, makanan dan minuman, kesihatan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri kreatif dalam penganjuran MFIS 2026 tahun ini diyakini mampu memberikan manfaat sebagai platform mempromosikan produk, perkhidmatan dan destinasi tempatan kepada rakyat Korea Selatan,” katanya.

Terdahulu, sepanjang festival berlangsung selama dua hari, pelbagai keistimewaan Malaysia diketengahkan merangkumi sajian warisan, seni kreatif, kraftangan tradisional, permainan, fesyen, persembahan pentas, kerjasama perniagaan strategik serta jenama tempatan.

Mohd Zamruni (empat dari kanan) dan Samuel (dua dari kanan) ketika melawat reruai Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) sempena Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 di Dongdaemun Design Plaza (DDP).

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan tarian kebudayaan dan muzik selain persembahan khas daripada artis Malaysia serta kumpulan kebudayaan Sekolah Seni Malaysia.

Pentas MFIS 2026 juga dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan Korea, Kiiras serta penyanyi kelahiran Sabah, Elica Paujin.

Selain persembahan pentas, pengunjung juga digalakkan menerokai ruang pameran bagi mengenali lebih dekat produk asli Malaysia serta berinteraksi dengan peserta pameran.