RANAU: Kejadian tanah runtuh di Kampung Gorowot Sinisian, Kundasang, di sini semalam menjejaskan beranda sebuah rumah penginapan, Nikie Villa.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 4.08 petang itu tidak membabitkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan dua anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.23 petang dan mendapati berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan beranda rumah penginapan berkenaan.
“Pemeriksaan dan pemantauan dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan semasa serta mengesahkan tiada mangsa terlibat.
“Penduduk di kawasan sekitar turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama ketika hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 4.50 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.14 petang selepas pemeriksaan dan pemantauan selesai dijalankan.
Katanya, pemantauan berterusan akan dilaksanakan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta keadaan persekitaran.