755 PATI Filipina dihantar pulang ke Zamboanga

SANDAKAN: Seramai 755 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina, semalam.

Program pemindahan tahanan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menggunakan kapal MV Antonia 1, membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan berkenaan membabitkan 669 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 69 tahun.

Menurutnya, kanak-kanak yang terbabit dalam program itu turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing bagi memastikan proses penghantaran pulang berjalan lancar.

“Pada hari sama, seramai 12 tahanan warga asing turut dipindahkan melalui udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

“Ia membabitkan 10 lelaki dewasa warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 10,006 tahanan PATI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal menerusi program berkenaan.

Katanya, jumlah itu merangkumi 7,670 warga Filipina, Indonesia (1,960), Pakistan (153), China (156), Vietnam (30) dan lain-lain negara termasuk India (37).

Sitti Saleha berkata, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Sehubungan itu, pihaknya berharap Kedutaan Filipina dapat mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi membolehkan lebih ramai tahanan dihantar pulang dalam tempoh segera.

“Kerjasama itu penting bagi memastikan pengurusan tahanan berjalan lancar selain mengurangkan kesesakan di depot imigresen di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa majikan, khususnya dalam sektor perladangan, menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing di Sabah.

Katanya, inisiatif itu dijangka membantu menangani masalah dokumentasi serta mengurangkan lambakan PATI di negeri ini.

Beliau menegaskan JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melindungi pekerja asing tanpa permit atau dokumen perjalanan sah.

“Majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan bagi kesalahan berkaitan melindungi atau bersubahat dengan PATI,” katanya