Sabah perlu manfaatkanpotensi industri hiliran kelapa sawit – Ahli Parlimen Tuaran

KUALA LUMPUR: Sabah perlu memperluaskan pembangunan industri hiliran berasaskan kelapa sawit bagi menghasilkan produk bernilai tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah, kata Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor berkenaan dengan keluasan tanaman kelapa sawit kira-kira 1.48 juta hektar pada 2024, bersamaan 26.4 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit negara.

Menurut statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi 2024 yang dirujuk beliau, Sabah merupakan negeri kedua terbesar dari segi keluasan tanaman kelapa sawit selepas Sarawak.

Katanya, sumber berkenaan perlu dimanfaatkan untuk membangunkan industri pemprosesan hiliran yang mampu menghasilkan produk berteknologi tinggi dan mempunyai nilai komersial lebih besar.

“Tandan buah kosong atau EFB, misalnya, boleh diproses untuk mendapatkan selulosa. Selulosa ini boleh dijadikan gentian bagi menghasilkan fabrik dan tekstil, atau diproses menjadi nanocellulose untuk aplikasi bahan termaju seperti membran dan bahan pemisah bateri, tertakluk kepada pengesahan teknologi dan pasaran,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata tempurung isirung sawit pula boleh diproses menjadi biochar dan karbon teraktif, manakala minyak sawit mentah berpotensi menghasilkan oleokimia, lemak khusus serta bahan kimia berasaskan bio.

Madius berkata pembangunan industri berkenaan perlu diberikan perhatian supaya Sabah dapat bergerak ke arah penghasilan produk hiliran yang lebih kompleks dan mempunyai nilai tambah tinggi.

“Inilah perubahan yang kita mahu: bukan sekadar mengeksport bahan mentah, tetapi menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengaitkan potensi tersebut dengan cadangan pembangunan 75 ekar pertama POIC Lahad Datu sebagai Zon Perindustrian Bebas khusus untuk pemprosesan hiliran minyak sawit dan penghasilan bahan termaju.