KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) memperkukuh langkah kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana termasuk banjir bagi memastikan kelancaran pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
Langkah itu dilaksanakan menerusi mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan sentiasa terpelihara.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, beberapa operasi kesiapsiagaan diaktifkan mengikut risiko bencana yang berkemungkinan berlaku, termasuk Operasi Payung bagi menghadapi banjir, Operasi Topeng untuk situasi jerebu, Operasi Gempa bagi bencana alam seperti gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.
Menurutnya, calon yang terlibat atau terkesan akibat sebarang bencana dinasihatkan supaya segera memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan serta kesiapsiagaan calon sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena tinjauan pelaksanaan peperiksaan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan persediaan akademik, malah merangkumi bantuan kebajikan seperti sumbangan alat tulis, penyediaan makanan serta perhatian terhadap keselamatan calon.
“Selain membantu dari aspek persediaan calon menerusi sumbangan alat tulis dan penyediaan jamuan makanan, PIBG turut memberi perhatian terhadap aspek kebajikan dan keselamatan pelajar,” katanya.
Abidin turut berharap semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang, bersedia dan fokus, sekali gus memperoleh keputusan cemerlang hasil usaha serta persediaan masing-masing.
JPNS menegaskan komitmennya untuk memastikan peperiksaan SPM 2026 berjalan lancar dan teratur menerusi kerjasama semua pihak serta langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana.